| |
| MD. Yunos Husin (dua dari kiri) bersama Ismail Ahmad (kanan), Ismail Othman dan Ghazale Mohamad (kiri) menunjukkan isyarat bagus pada produk halal keluaran negeri Melaka pada majlis pelancaran Produk Melaka Halal Hab di Serkam, Jasin, Melaka, semalam. |
JASIN 29 Mac – Daerah Serkam kini menjadi pusat industri hab halal utama di Melaka sekali gus membantu meningkatkan popularitinya sebagai kawasan perindustrian pelancongan terbaru di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, usaha itu menjadikan Melaka sebagai negeri pertama yang mempunyai pusat industri halal hab dengan 52 premis perniagaan produk halal yang beroperasi ketika ini.
Menurutnya, kesemua usahawan produk halal terbabit diletakkan di bawah HPA Industries Sdn. Bhd. yang berfungsi memasarkan produk di kawasan tersebut di seluruh negara.
‘‘Ini menjadi satu kelebihan kepada usahawan Malaysia untuk memasarkan produk ke seluruh dunia memandangkan produk halal turut mendapat permintaan dari kalangan negara-negara Eropah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Produk Melaka Halal Hab yang turut dihadiri Pengarah Urusan HPA Industries Sdn. Bhd, Ismail Ahmad di sini hari ini.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri yakin dengan kemampuan syarikat terbabit dalam memasarkan produk halal yang disediakan di Serkam pada masa ini.
‘‘Saya percaya kemampuan dan kebolehan syarikat ini, produk usahawan di Melaka ini dapat dipasarkan dengan lebih meluas dan ahlinya sahaja menjangkau 600,000,” katanya.
Kata beliau, ketika ini, kira-kira 300 produk halal berjaya dipasarkan oleh syarikat terbabit dan mensasarkan sehingga RM20 juta setahun bagi nilai pengeksportan.
Jelasnya, syarikat berkenaan turut mensasarkan lebih 3,000 produk dipasarkan sekali gus mengukuhkan rangkaian perniagaan sedia ada dalam membantu usahawan kecil dan sederhana di negara ini.